Saat kita menempuhi onak duri dunia, ya mungkin ada kalanya,
kesedihan itu terus memanjat-manjat di dasar hati lantaran ada dugaan
yang memedihkan dan mengusik ketenangan jiwa. Air mata seakan bersedia
mahu keluar agar tidak terus berombak di kolam hati. saat itu mungkin
sabar tidak dikenali lagi. Dalam terharu, air mata tumpah juga, mengalir
deras mengeringkan derita. Kemudian ada sedikit ketenangan mula
menyusup membalut lara, sinar-sinar harapan menampakkan cahaya menyuluh
jalan yang lebih bahagia. Keyakinan seakan tumbuh dari sokongan dan
kesedaran, wajah mula tenang dan senyuman mudah terbentuk. Cerialah
diri. Suka duka, sedih gembira bagaikan silih berganti. Wahai hati,
ingatlah diri kita ini tidak hidup abadi. esok, lusa, mana tahu kita
akan mati.
Wahai Hamba Ilahi,
Allah mendugamu bukan kerna Dia mahu menyusahkan dirimu tetapi Dia
ingin mengetuk hatimu yang tidak pernah lelah bermain dengan dunia agar
dirimu kembali lurus pada jalanNya..
Ingatlah, Allah tidak pernah melupakan kita tetapi mungkin kita yang
selalu melupakanNya, melupakan ayat-ayatNya, melupakan nikmat-nikmat
yang telah kita pinjam dariNya..
Ketika kita senang, dengan enteng kita meninggalkanNya. Ketika kita
susah, kita meraung menyeru namaNya. tidak malu kah kita
padaNya? sedarlah ! kita hambaNya bukan siapa-siapa. Jika tidak kerna
kasih sayangNya kita tidak akan dapat merasai apa yang kita miliki tika
ini..
Sedarlah jiwa-jiwa yang terleka.
Hadapilah segala ujian dengan rasa kehambaan
kepadaNya.Tersenyumlah kerna setiap kesulitan itu pasti akan disusuli
oleh kemudahan.Sesungguhnya dugaan dan ujian hadir dalam hidup kita
adalah tanda sayangnya Allah pada kita. Oh untungnya kita.
Ayuh kembali menjadi hamba-Nya, kesilapan yang lalu jadikanlah
sebagai pengajaran buat kita agar terus berjaya di masa depan .Jangan
biarkan kegagalan itu membunuh jiwa kita untuk terus bangkit.
Buatmu wahai jiwa – jiwa yang terluka..
Jangan bersedih, kerana qadha’ telah ditetapkan, sesuatu yang
ditakdirkan telah terjadi, pena-pena telah mengering, lembaran-lembaran
catatan ketentuan telah pun dilipat, dan setiap perkara telah
ditetapkan! Betapapun, kesedihan anda tidak dapat mendahulukan atau
menta’khirkan kenyataan yang terjadi, dan tidak juga mampu menambahkan
atau mengurangi apa yang telah ditetapkan.
Jangan bersedih, kerana kita telah melalui kesedihan itu kelmarin dan
ia sama sekali tidak memberi sebarang manfaat pun pada keesokan hari
nya. kesedihan demi kesedihan bakal membuat kita semakin terperuk dalam
keputus asaan dan dunia yang luas dirasakan sempit dan tidak lagi
berguna. Padahal, dunia inilah kesempatan untuk kita dekatkan diri
kepada Allah untuk kita raih syurgaNya yang tersangat indah serta bebas
daripada rasa kesedihan
Jangan bersedih, sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan
dan ketenangan anda. Oleh sebab itu, jangan habiskan usia anda dalam
kesedihan, jangan biarkan malam-malam anda dalam kecemasan, jangan anda
tukar kebahagiaan dengan ketakutan, dan jangan mensia-siakan waktu anda
yang masih tersisa, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang
mensia-siakan waktu.
Wahai hamba Allah, iaitu saya dan kamu..
Gara-gara kesedihan, air yang manis akan terasa pahit, makanan yang
lazat terasa hambar dan bunga mawar yang mekar mewangi terus menjadi
layu. Kita sendirilah yang menggerakkan saraf pemikiran kita, mengubah
situasi kita, meletihkan hati kita dan menganggu tidur kita dengan rasa
kesedihan itu.
Ingatlah tangisan terindah itu apabila butir-butir airmata mengalir
hangat di pipi lantaran terasa diri kita begitu kerdil di sisi Allah dan
begitu berdosanya kita disisi Allah. Jika kita soal pada hati kita yang
paling dalam. berapa banyakkah dosa kita? sikitkah? banyakkah?
terhitungkah? Allahu Rabbi… Semoga Allah sentiasa mengampuni dosa-dosa
kita serta menggerakkan hati-hati kita supaya sentiasa bertaubat
kepadaNya agar diri kita tidak tenggelam dengan dosa-dosa yang
menggelapkan hati lalu memadam nur hidayah yang diidami..sama-sama kita
renungi diri kita ini lebih-lebih lagi yang menulis ini dan
sahabat-sahabat yang dikasihi. insyaAllah, moga Allah redha ke atas kita
semua.
Lihatlah
disekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu, sepanjang hidup dan usiamu
jangan mudah berputus asa, senyuman yang kau berikan dan airmata yang
kau titiskan, simpan.. jadikan tauladan, segala yang kau pandang dan
dengar, simpan.. buat pedoman.
“Janganlah kamu bersikap
lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah
orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang
beriman.” – (Surah Al-Imran:139)